Program Arkib Komuniti merupakan salah satu inisiatif Ikhtiar 4 – Perancangan Strategik Kementerian Perpaduan Negara (KPN) Tahun 2025: Komuniti Sosio-Budaya, khususnya di bawah Kluster Semarak Perpaduan. Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui ANM dipertanggungjawab untuk mengadakan Program Arkib Komuniti dalam usaha untuk ‘memasyarakatkan arkib’ bagi memperkasakan peranan komuniti dan masyarakatnya dalam memelihara khazanah warisan dan sejarah negara.
Program Arkib Komuniti telah dirasmikan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara pada 17 Mei 2025 di Pekarangan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Jalan Tengku Kelana, Klang, Selangor. Penganjuran program ini dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) selaku rakan strategik utama. Kerjasama ini diadakan bersempena ulang tahun ke-135 tahun bandar Klang. Klang juga dipilih sebagai lokasi pertama dan perintis program arkib komuniti selaras dengan statusnya sebagai pusat yang kaya dengan warisan sejarah, kepelbagaian budaya serta kemajmukan masyarakat berbilang kaum/ etnik.
Kemuncak program ini adalah pelancaran Kit Arkib Komuniti yang merupakan panduan asas disediakan khusus kepada individu, keluarga, ketua, tokoh, pertubuhan dan komuniti yang berminat atau terlibat dalam kerja-kerja kearkiban bermula daripada pengumpulan dan pemerolehan bahan; pemeliharaan, pemuliharaan dan pendigitalan bahan; pendokumentasian, sejarah lisan serta penubuhan galeri komuniti. Sesi simbolik penyerahan koleksi bahan kepada ANM oleh:
- Dr. Norezah binti Abdul Aziz (Pengerusi, Pertubuhan Seni Warisan Adat Melayu)
- Encik Azmi bin Jaffri (Pengerusi, Persatuan Seni Warisan Artistic Digital Malaysia)
- Encik Chim Siew Choon (Timbalan Presiden, Selangor Buddhist Development Council)
- Tuan Haji Md Yousoff bin Noor Mohamed (Nazir, Masjid India Muslim Klang)
- Encik Abdul Rahman bin Haji Awang Deris (Waris Pawang Diraja Selangor)
- Encik Gunasegaran Ramachandran (Penulis Buku “Sentul Gems’s”)
Pelbagai pengisian dan aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program berlangsung seperti:
- Persembahan Warisan Kebudayaan dan Kesenian Komuniti Selangor
- Reruai Pameran dan Demonstrasi Arkib Komuniti: Warisan Sejarah, Seni dan Budaya
- Khidmat Kepakaran Kaedah Penyimpanan, Pemeliharaan, Pendigitalan dan Pendokumentasian Koleksi Persendirian/ Komuniti
- Kaunter Penyerahan Koleksi Persendirian oleh Komuniti kepada ANM
- Demonstrasi Pemuliharaan dan Penjilidan Bahan dan Dokumen Persendirian/ Komuniti
- Perkhidmatan Penyalinan (Scanning) Dokumen Persendirian/ Komuniti
- Podcast: Warisan Sejarah Klang
- Lawatan Jejak Warisan di Bandar Klang dengan menaiki Bas Hop On Hop Off (HOHO)
- Kuiz Kahoot!
- Pertandingan
- Pertandingan Mewarna peringkat Tabika Perpaduan
- Pertandingan Busana Tradisional Melayu
- Pertandingan Permainan Tradisional (Congkak dan Batu Seremban)
- Pertandingan Memasak Sambal Perpaduan
Program ini telah dihadiri oleh 1,347 pengunjung secara fizikal dan dalam talian facebook live ANM dan ArkibTV seramai 1,962 penonton.











